Oleh : Mufti Brunei
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Al-Qur'an adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam pada bulan Ramadhan. Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, bulan Ramadhan adalah kesempatan yang paling berharga untuk emperbanyakkan membaca al-Qur'an, samaada secara bertadarus ataupun berseorangan, lebih-lebih lagi sehingga menamatkan (khatam) bacaan 30 juz al-Qur'an.
Ini kerana orang yang membaca al-Qur'an akan mendapat rahmat dan limpah kurniadari Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: "Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (al-Qur'an) dan tetap mendirikan sembahyang sertamendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya)." (Surah Faatir: Ayat 29-30)
Menyentuh mengenai amalan membaca al-Qur'an, Al-Imam an- Nawawi Rahimahullah Ta'ala menegaskan di dalam kitabnya al- Adzkar bahawa hari-hari yang terbaik membaca al-Qur'an ialah pada hari Jumaat, Isnin, Khamis, hari 'Arafah (9 Zulhijjah), sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Manakala bulan terbaik adalah bulan Ramadhan.
Fadhilat Membaca al-Qur'an
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam banyak menyebut dalam hadis-hadis Baginda tentang faedah dan fadhilat membaca al- Qur'an itu, antaranya ialah:
1. Pembaca al-Qur'an hatinya dikurniakan cahaya oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan memeliharanya dari kegelapan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu:
Maksudnya: "Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah Ta'ala (al-Qur'an) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di hari Qiamat."(Hadis riwayat Ahmad)
2. Pembaca al-Qur'an memperolehi kemuliaan dan diberi rahmat kepada ibu bapanya. Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:
Maksudnya: "Sesiapa yang membaca al-Qur'an dan beramal dengan isi kandungannya, dianugerahkan kedua ibubapanya mahkota di hari Qiamat. Cahayanya (mahkota) lebih baik daripada cahaya matahari di rumah-rumah dunia. Kalaulah yang demikian itu matahari berada di rumah kamu (dipenuhi dengan sinarannya), maka apa sangkaan kamu terhadap yang beramal dengan (al-Qur'an) ini?"(Hadis riwayat Abu Daud)
3. Pembaca al-Qur'an memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syurga. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "(Ketika masuk syurga) dikatakan kepada orang yang (sentiasa membaca dan beramal dengan) al- Qur'an: "Bacalah (al-Qur'an), naiklah (pada darjat-darjat syurga) dan bacalah dengan tartil (tidak cepat) sebagaimana engkau membacanya dengan tartil di dunia (mengikut tajwid). Sesungguhnya kedudukan darjatmu (di Syurga) sehingga pada akhir ayat yang engkau baca, (darjat-darjat syurga mengikut bilangan ayat-ayat al-Qur'an)." (Hadis riwayat Abu Daud)
Belajar Dan Mengajar al-Quran
Orang yang belajar dan mengajarkan al-Qur'an dijanjikan dengan martabat yang sebaik-baiknya di kalangan manusia. Sebagaimanahadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Sayyidina Uthman Radhiallahu 'anhu:
Maksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang-orang yang mempelajari al-Qur'an dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bagi yang kurang mahir membaca al-Qur'an, maka janganlah merasa rendah diri dengan kekurangan tersebut. Belajarlah dengantekun dan perbaiki lagi bacaan tersebut samada dengan berguru ataupun dengan bertadarus.Bagi yang baik bacaannya, jauhkan sifat sombong dan hindarkan diri dari menyimpan perasaan marah atau tidak suka jika bacaannya diperbetulkan, selama mana tujuan mereka yang lain itu adalah kerana Allah Ta'ala.
Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri sentiasa bersikap terbuka untuk belajar dan menerima pelajaran. Dalam sebuah hadisyang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma bahawa pada setiap bulan Ramadhan, Baginda mempelajari al-Qur'an daripada Malaikat Jibril 'Alaihissalam. Bacaan Baginda didengar atau disemak oleh Malaikat Jibril 'Alaihissalam pada setiap bulan Ramadhan.
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia paling pemurah dan dermawan, dan Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam paling pemurah pada bulan Ramadhan pada ketika Jibril datang menemui Baginda, dan Jibril datang menemui Baginda pada setiap malam bulan Ramadhan dengan mengajarkan Baginda al-Qur'an. Bahawa Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pada ketika ditemui oleh Jibril itu adalah lebih pemurah dalam berbuat kebaikan daripada angin yang bertiup."(Hadis riwayat al-Bukhari)
Cara yang dituntut untuk mempelajari al-Qur'an ialah dengan mendapatkannya atau mempelajarinya terus daripada guru-guru al-Qur'an.
Cara beginilah yang dilakukan semenjak dahulu lagi. Para sahabat Radhiallahu 'anhum belajar dari lisan Nabi Shallallahu 'alaihiwasallam yang mulia. Begitulah juga yang dibuat oleh tabi'en (pengikut-pengikut sahabat), iaitu mereka belajar al-Qur'an darimulut sahabat-sahabat Radhiallahu 'anhum dan begitulah seterusnya hingga ke zaman kita ini.
Perlu diambil kira bahawa, membaca al-Qur'an dengan melihat atau meneliti kepada mushaf adalah suatu perkara yang dituntut.Bahkan sesiapa yang hafaz ayat-ayat al-Qur'an sekalipun, adalah lebih afdhal baginya untuk membaca al-Qur'an dengan melihatkepada mushaf berbanding membacanya melalui hafalan dan ingatan. Inilah yang diamalkan oleh para sahabat Radhiallahu 'anhum bahawa mereka membaca al-Qur'an itu dengan melihat kepada mushaf al-Qur'an, sekalipun mereka itu tergolong daripada orang-orang yang hafaz al-Qur'an. Malahan mereka tidak suka sekiranya masa sehari itu berlalu tanpa mereka melihat atau memandang kepada kandungan mushaf. Ini bermaksud melihat mushaf al-Qur'an itu juga merupakan satu ibadat dan mendapat pahala.
Maka dengan perbuatan sedemikian, bergabunglah dua ibadat yang dituntut, iaitu membaca al-Qur'an dan meneliti atau melihat kepadaal-Qur'an.
Memperbanyakkan Bacaan al-Qur'an
Tidaklah dapat dinafikan lagi, bahawa orang yang membaca al- Qur'an itu akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang amat besarsebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur'an dan hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Sebab itulah orang-orang salih membiasakan diri mereka dalam menambahkan dan meningkatkan amalan pembacaan al-Qur'an pada bulan Ramadhan.
Orang-orang salih menjadikan al-Qur'an sebagai syi'ar dan wirid mereka. Ia umpama musim bunga bagi hati-hati mereka yang kelam dan umpama taman-taman yang bunganya berkembangan untuk santapan indera mata mereka, taman-taman subur menghijau yang sentiasa mekar untuk mereka, lalu mereka menikmati semerbak harumnya, keindahannya yang mempersona dan kecantikannya yang menawan.
Gambaran ini disifatkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullahbin Mas'ud, bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya al-Qur'an ini adalah hidangan (anugerah) Allah, maka belajarlah kamu daripada anugerah itu semampu yang boleh. Sesungguhnya al-Qur'an ini juga adalah tali Allah, ia adalah cahaya penerang, penawar yang berguna,pemelihara bagi orang yang berpegang dengannya, dan penyelamat bagi orang yang mengikutinya. Ia tidak bengkok bahkan ia tegak, ia tidak menyimpang bahkan ia lurus dan ia tidak pupus keajaibannya, dan ia tidak menjadi usang dengan sebab selalu diulang-ulang (bacaannya). Maka bacalah ia (al-Qur'an), Bahawasanya Allah memberi ganjaran kepada kamu kerana membacanya, bagi setiap huruf dengan sepuluh kebaikan. Saya tidak mengatakan bahawa ( الم ) satu huruf, tetapi saya mengatakan bahawa alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Ad-Darimiy)
Sebagai contoh, para salaf ash-Shaleh Radhiallahu 'anhum kebiasaannya mengkhatam (menghabiskan bacaan 30 juz) al-Qur'an mengikut kadar kemampuan mereka. Ada di antara mereka yang khatam dua bulan atau sebulan sekali. Ada juga pada setiapsepuluh, lapan, enam, lima atau empat hari sekali khatam.
Menurut pengarang kitab al-Azkar, kebanyakkan daripada salaf ash-Shaleh Radhiallahu 'anhum mengkhatamkan al-Qur'an setiap tujuh, tiga atau sehari semalam sekali khatam. Ada juga yang khatam dua atau tiga bahkan lapan kali setiap sehari semalam.Diriwayatkan as-Said al-Jalil Ibnu al-Katib ash-Shufiy Radhiallahu 'anhu, mengkhatam empat kali pada waktu malam dan empat kalipada waktu siang.
Bilakah Waktu Memulakan Dan Mengkhatam al-Qur'an?
Waktu memulakan dan mengkhatam al-Qur'an itu tertakluk kepada si pembaca untuk memilihnya. Sayyidina 'Utsman Radhiallahu 'anhu, apabila dia khatam seminggu sekali beliau memulakan pembacaan al-Qur'an pada malam Jum'at dan khatam pada malam Khamis.
Menurut al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala di dalam kitab al-Ihya', afdhal memulakan waktu mengkhatam al-Qur'an itu sekali pada waktu malam dan sekali lagi pada waktu siang. Menjadikan khatam pada waktu siang itu pada hari Isnin di dalam sembahyang sunat dua rakaat.
Fajar (Subuh) atau selepasnya. Manakala khatam pada waktu malam pula, dilakukan pada malam Jum'at di dalam sembahyang sunat dua rakaat Maghrib atau selepasnya.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Daud daripada 'Amru bin Murrah at-Tabi'ie al- Jalil Radhiallahu 'anhu katanya: "Mereka suka mengkhatam al-Qur'an itu daripada awal malam atau awal siang."
Sementara riwayat daripada Thalhah bin Musharrif at-Tabi'ie al-Jalil al-Imam pula berkata:
"Sesiapa mengkhatam pada suatu masa daripada waktu siang, bershalawat malaikat ke atasnya sehingga petang. (Sesiapa mengkhatam) pada suatu masa daripada waktu malam, bershalawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh."
Al-Imam Abu Muhammad ad-Darimiy Rahimahullah daripada Sa'ad bin Abi Waqash Radhiallahu 'anhu berkata:
"Apabila bertepatan waktu mengkhatam al-Qur'an itu pada awal malam, bershalawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh. Jika bertepatan waktu khatamnya pada akhir malam, bershalawat malaikat ke atasnya sehingga petang."
Dalam hal mengkhatam al-Qur'an ini, apabila seseorang itu mengkhatam al- Qur'an dengan berseorang diri, sunat dilakukannya ketika berada dalam sembahyang. Adapun jika di luar sembahyang dan mengkhatamnya secara berkumpulan, sunat dilakukan pada awal malam atau awal siang sebagaimana penjelasan sebelum ini. Sunat pula berpuasa di hari khatam tersebut melainkan jika bertepatan pada hari itu dengan hari ditegah untuk berpuasa. Ini kerana para Tabi'ien berpuasa pada hari mereka khatam itu.
Khatam al-Qur'an
Apabila hendak mengkhatam al-Qur'an 30 juz, maka adalah wajar diadakan majlis dengan menghimpunkan sanak saudara dalam majlis berkenaan.
Perkara ini sangat dianjurkan oleh para sahabat sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah riwayat daripada Qatadah at-Tabi'ie (Tabi'in) dia berkata:
Maksudnya: "Adalah Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu (sahabat Nabi Shallallahu 'alaih wasallam) apabila dia mengkhatamkan al-Qur'an, dihimpunkannya anaknya dan ahli keluarganya dan dia pun berdoa untuk mereka." (Hadis riwayat ad-Darimiy)
Anjuran menghimpunkan sanak saudara dalam Majlis Khatam al-Qur'an adalah bagi tujuan untuk sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat hasil daripada bacaan doa dalam majlis tersebut kerana di dalam majlis tersebut doa diperkenankan dan rahmat diturunkan berdasarkan riwayat daripada Mujahid Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Telah sampai kepadaku (utusan) yang berkata: Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatamkan al- Qur'an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa doa diperkenankan ketika khatam al-Qur'an. Dia (Mujahid) berkata: Maka mereka pun berdoa (pada majlis khatam) dengan berbagai doa." (Hadis riwayat ad-Darimiy)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah memerintahkan perempuan yang haidh untuk keluar rumah pada hari raya dengan tujuan menghadiri majlis yang berkebajikan seperti majlis ilmu dan majlis-majlis yang terkandung di dalamnya doa seperti majlis khatam al-Qur'an.
Oleh kerana itu, adalah sunat (mustahab) hadir di majlis khatam itu beramai-ramai sama ada yang baik bacaan al-Qur'annya ataupun sebaliknya.
Bertadarus dan Kelebihannya
Selain daripada membaca al-Qur'an secara bersendirian, membaca al-Qur'an secara berkumpulan merupakan perkara yang digalakkan. Imam an-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa jika satu kumpulan itu membaca al-Qur'an secara berganti-ganti atau bergilir-gilir, maka itu adalah suatu langkah atau cara yang baik dan diharuskan.
Gambaran yang diberikan mengenai kaedah bergilir-gilir ialah seorang qari' (pembaca) al-Qur'an membaca sebanyak sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya, dan apabila dia selesai membaca dia pun diam. Kemudian bacaan ayat seterusnya disambung lagi oleh pembaca selepasnya dan begitulah seterusnya sehingga selesai. Kelebihan membaca dan mempelajari al-Qur'an secara beramai-ramai adalah sangat besar ganjarannya. Ini jelas disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu yang sering dibawakan sebagai dalil mengenai perkara ini:
Maksudnya: "Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid), mereka itu membaca al-Qur'an dan saling bertadarus antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, di kelilingi para malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisiNya." (Hadis riwayat Muslim)
Selain daripada masjid dan tempat ibadat, maka termasuklah juga di rumah, tempat belajar ilmu, sekolah dan yang seumpamanya.Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi, antara maksud 'tadarus' itu ialah:
1. Sebahagian daripada pembaca itu membaca dan sekaligus memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an kepada sebahagianyang lain, dengan tujuan untuk pembetulan (tashhih) lafaz-lafaz al- Qur'an (sekiranya ada kesalahan atau kesilapan) ataupun dengantujuan untuk mengetahui makna-maknanya; Berdasarkan kepada pengertian tadarus di sini, ianya serupa dengan apa yang pada kebiasaannya dilaksanakan ketika bertadarus khususnya di bulan Ramadhan. Sebahagian atau seorang daripada kumpulan itu memperdengarkan bacaannya, manakala sebahagian yang lain itu mendengar sambil menyemak bacaan tersebut. Jika terdapat kesalahan atau kesilapan, maka individu atau kumpulan yang menyemak tadi akan segera memperbetulkannya.
Untuk menambahkan lagi kualiti pembacaan, adalah disarankan, dalam kumpulan itu terdapat seorang yang baik bacaan al-Qur'annya,maka dia boleh pula membimbing pembaca-pembaca yang lain apabila diperlukan.
2. Maksud tadarus itu, membaca al-Qur'an dengan bersungguh-sungguh (komited) dengan cara menjaga dan mengamalkannya agar tidak lupa.
3. Menurut al-Qari', tadarus itu lebih khusus daripada membaca al- Qur'an semata-mata.
Namun bagi mereka yang enggan memperdengarkan bacaannya kerana sebab-sebab tertentu, seperti kurang mahir dalam bacaan atau alunan suara, janganlah merasa rendah diri dan malu, kerana tujuan asal bertadarus ialah untuk mendapatkan pahala membaca al-Qur'an, dan untuk mempelajari al-Qur'an, memperbaiki mutu bacaan dan memperbetulkan bacaan qari' (si pembaca) jika terdapat lafaz-lafaz atau bacaan yang tidak betul. Perkara ini sukar diperolehi ketika membaca al-Qur'an secara bersendirian. Apatah lagimembaca al-Qur'an secara bertadarus itu mempunyai ganjaran dan kelebihan tersendiri.
Oleh yang demikian, janganlah kita sekali-kali meninggalkan membaca al- Qur'an, kerana membaca al-Qur'an itu mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan bukan sahaja kepada pembacanya, bahkan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Perbanyakkanlah membaca al-Qur'an khususnya pada bulan Ramadhan kerana pada hari kiamat al-Qur'an akan datang sebagai pemberi syafaat bagiorang yang membacanya, sebagaimana riwayat Abu Umamah Radhiallahu 'anhu:
Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Bacalah oleh kamu al-Qur'an, sesungguhnya (al-Qur'an) itu datang pada hari Qiamat menjadi syafa'at kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim)
Jelasnya, al-Qur'an adalah zikir, doa dan juga permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar mengurniakan kebaikan, rahmat dan keampunan kepada orang-orang yang membacanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Tuhan 'Azza wa Jalla berfirman: "Barangsiapa sibuk membaca al-Qur'an untuk selalumengingatiKu, maka Aku beri dia lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta-minta. Dan keutamaan kalam Allah dan kalam-kalam yang lainnya adalah seperti keutamaan Allah pada makhlukNya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Labels: Jom baca Quran
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
1xbet korean soccer odds for tonight | legalbet.co.kr
1xbet korean soccer odds for tonight · 2. 1xbet korean soccer odds for tonight · 3. 1xbet korean soccer odds for tonight 1xbet · งานออนไลน์ 4. 1xbet korean soccer 샌즈카지노 odds for tonight · 5.1xbet
Post a Comment